Walau dah Tawar RM1 Juta Pun Tak Jual. Siapa S4ngka Seluar Jean Pertama Dan Tertua Di Dunia Kini Berada Di Malaysia

Bangi: Siapa sangka seluar jean pertama dan tertua di dunia kini berada di Malaysia yang dibeli seorang lelaki daripada pelelong di Amerika Syarikat (AS).

Seluar jean Levis keluaran pertama 1890 itu dibeli seorang pemilik bundle Tokor Amerika, Ahmad Baihaki Hussin, 40, selepas melihat satu dokumentari di YouTube. Sejak itu dia mula menjadi ‘pemburu’ jean berusia 130 tahun itu dan mencarinya di sekitar AS. Bukan saja itu, dia pernah ditawarkan RM1 juta oleh pengumpul koleksi dari Jepun dan Thailand untuk membeli jean koleksinya namun ditolak mentah-mentah.

“Jean poket satu ataupun yang dikenali sebagai First Blue Jeans ini dibeli daripada seorang pelelong di AS pada 2018. “Saya mengetahui mengenai kewujudan seluar ini selepas melihat satu dokumentari di YouTube menyebabkan tergerak hati ke AS. “Pertama sekali saya ke Maine, Portland sebelum diberitahu pemilik sebenar jeans berkenaan berada di Tucson,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia kemudian menemui tapak rumah asal pemilik jean itu dan diberitahu rumah berkenaan sudah dijual.

“Saya dapat nombor telefon individu yang memegang seluar itu dan cuba menghubungi dan e-mel setiap hari sepanjang berada di sana namun tiada sebarang jawapan.

“Kemudian, saya pulang semula ke Ibu Pejabat Levis terletak di San Francisco sebelum dihubungi individu yang juga pelelong jeans berkenaan. “Saya menawarkan untuk membeli jean itu dengan harga yang berpatutan bagi sehelai jeans yang berusia lebih daripada 100 tahun dan akhirnya dia bersetuju untuk menjualnya.

“Maksud harga yang bepatutan adalah harga yang diketahui umum bagi pengumpul barangan vintage seluruh dunia,” katanya.

Ahmad Baihaki berkata, dia diberitahu jean pertama Levis itu dengan kondisi terbaik milik seorang lelaki berasal dari Jerman dengan saiz 44.

“Seluar ini dipercayai ditemui cucunya dalam satu bekas kayu dan disebabkan itu kondisinya masih elok. “Saya kira jean yang saya miliki ini adalah yang tertua di dunia dengan kondisi terbaik,” katanya.

Menurutnya, dia dan rakannya turut memiliki jean model tahun 1922 yang dibeli di Jepun pada 2018.

“Jean Nevada ini adalah model pertama Levis berusia 1873 juga dibeli di Amerika,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Ahmad Baihaki berkata, mereka ditawarkan RM1 juta untuk menjual dua jean miliknya namun menolaknya berikutan pakaian itu susah untuk diperoleh.

“Bukan tidak pentingkan duit, tetapi koleksi yang kami ada sangat unik, kemungkinan kalau jumpa koleksi sama saya akan lepaskan yang ini, siapa tahu,” katanya.

Akuinya, perniagaan bundle juga satu pelaburan, tetapi membabitkan pakaian yang unik saja.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada lokaliti juga contohnya sehelai baju T band rock seperti Nirvana kadang-kadang boleh mencecah harga RM3,000 hingga belasan ribu. “Bergantung kepada permintaan di lokaliti dan juga trend semasa,” katanya.

Perniagaan bundle beri pulangan 100 peratus

Margin keuntungan sehingga 100 peratus menjadikan perniagaan pakaian terpakai atau bundle terus menjadi pilihan peniaga.

Pelbagai pakaian import dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun dan Korea menjadi pilihan peminat bundle sejak puluhan tahun lalu.

Imej berpakaian bundle sudah diterima masyarakat sebagai satu cabang fesyen yang dianggap klasik kerana rekaan dan material pakaian yang seasoned.

Perkara itu diakui pemilik Save & Save Bundle, Muhd Firdaus Mohamad yang memaklumkan perniagaan bundle ini mempunyai potensi yang besar untuk berkembang kerana permintaan yang terus stabil.

Beliau berkata, walaupun dijual pada harga serendah RM5 sehelai namun peniaga masih mampu meraih keuntungan.

“Pakaian bundle dijual secara pukal dengan anggaran harga bermula RM500 hingga RM1,800 mengikut gred pakaian. “Satu pukal dianggarkan berat 45 kilogram dengan 200 hingga 300 baju-T untuk setiap pukal manakala seluar jean sebanyak 100 helai,” katanya ketika ditemui.

Katanya, harga pula akan ditentukan peniaga berdasarkan kondisi, corak dan material pakaian berkenaan.

Tambahnya, baju-T bercorak selain seluar jean dengan kain yang tebal dan warna yang baik akan dijual pada harga yang tinggi.

“Pakaian bundle boleh dijual dengan pelbagai variasi harga membolehkan peniaga meraih keuntungan bagi setiap pukal. “Permintaan pula terus kekal baik dan peniaga tidak perlu memiliki kedai kerana boleh mempromosikan barangan jualan mereka menerusi laman sosial,” katanya.

Beliau yang juga pengedar pakaian bundle untuk pasaran tempatan mempunyai beberapa pembekal di luar negara untuk membekalkan stok setiap bulan.

Katanya, kebersihan terus menjadi keutamaan dan pakaian yang dijual akan dibasuh dan digosok supaya nampak lebih kemas.

Sumber:hmetro.com.my / kongsisibomonicko