JEPUN terkenal sebagai negara yang paling tinggi kos sara hidup. Oleh itu, tidak hairanlah jika kos sara hidup di sana amat tinggi berbanding di Malaysia.
SinarPlus kongsikan kisah Saki Tamogami, ‘wanita paling jimat’ di negara matahari terbit yang hanya membelanjakan RM6.70 sehari untuk makanan dan berjimat-cermat demi membeli tiga buah rumah apabila mencecah usia 34 tahun.
Wanita berusia 37 itu meletakkan sasaran berkenaan sejak berusia 19 lagi. Beliau yang gemar menikmati sajian makanan terus dari periuk kerana tidak pernah memiliki mangkuk berpegang pada moto, ‘saya tidak akan membeli apa-apa tanpa diskaun’
Hasilnya, dalam masa kurang daripada 15 tahun, Tamogami berjaya merealisasikan cita-citanya memilik tiga buah kediaman dan membuka kafe kucing yang dinamakan Cafe Yuunagi.
Pada 2019, Tamogami, 37, pernah muncul dalam program televisyen Happy! Bomby Girl tentang wanita muda yang mengubah hidup melalui kerja keras mereka.
Rancangan itu memperincikan gaya hidup yang sangat menjimatkan yang membolehkannya menjimatkan banyak wang, mendedahkan bahawa dia membelanjakan hanya 200 yen (AS$1.4) sehari untuk makanan.
Ketika dia berumur 19 tahun, Tamogami menetapkan matlamatnya untuk memiliki tiga buah rumah apabila dia mencapai usia 34 tahun.
Dia berkata dia selesa dan rasa selamat menyimpan wang serta gembira melihat simpanannya berkembang.
Selepas menamatkan pengajian di universiti, Tamogami bekerja untuk ejen hartanah dan sangat berhati-hati menguruskan setiap sen daripada gajinya.
Untuk meminimumkan kos, Tamogami memasak semua makanannya di rumah yang terdiri daripada hidangan ringkas seperti roti bakar, mi udon dan lobak yang dibeli pada harga diskaun serta membelanjakan tidak lebih daripada 50 yen (RM1.40) bagi setiap sajian.
Kadang-kadang, Tamogami akan menambah sedikit variasi seperti jem pada roti atau sekeping salmon dengan nasi dengan syarat ia tidak melebihi 200 yen sehari untuk makanan.
Tidak hanya berhenti membeli pakaian baru pada usia 19 tahun, Tamogami sebaliknya bergantung kepada barang-barang milik saudara mara dan perabot yang dikutip dari kawasan pelupusan sampah.
Rambutnya pula tidak pernah diwarnakan atau dikerintingkan. Malah rambut sihat milik Tamogami menjadi sumber pendapatan. Beliau menjualnya pada harga 3,100 yen (RM91.96) ketika ia panjang dan jumlah itu cukup untuk menampung hidupnya selama setengah bulan.
Memiliki simpanan yang banyak membolehkan beliau membeli rumah pertamanya di Saitama di wilayah Kanto, utara Tokyo, dengan harga 10 juta yen (AS$69,000) pada usia 27 tahun.
Kediaman itu disewakan dan dijadikan cagaran untuk membuat pinjaman membeli rumah keduanya yang berharga18 juta yen dua tahun kemudian.
Pada 2019, Tamogami berjaya mencapai matlamatnya untuk memiliki rumah ketiga dengan membeli kediaman berharga 37 juta yen.
Tamogami berkata motivasinya untuk berjimat cermat itu bermula daripada keinginannya untuk menyelamatkan kucing terbiar ketika kecil.
Justeru, beliau sudah merealisasikan impiannya dan membuka kafe kucing yang dipanggilnya Cafe Yuunagi di tingkat bawah rumah ketiganya yang menawarkan tempat tinggal bagi kucing terbiar.
Kafe berkenaan menarik minat pencinta kucing dan pendapatan daripada nya membantu menyediakan penjagaan untuk lebih banyak haiwan.
Tamogami berazam terus hidup berjimat-cermat dan merancang untuk menggunakan pendapatan sewa serta gaji untuk mengembangkan lagi portfolio hartanah.
Pelik tetapi inilah cara yang dilakukan wanita ini untuk bertahan dan mencapai impiannya di sebuah metropolitan yang maju seperti Tokyo.
Diharapkan kita tidak terlalu kedekut berbelanja untuk diri dan keluarga. Tidak salah membeli barang keperluan asalkan ia tidak membazir, sesuai dengan bajet dan tidak merugikan diri sendiri.
kredit: sinarplus