Foto sekadar hiasan
Rindu Nak Jadi Anak Mak Aku Lagi
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua pembaca.
Nama aku Ida dah berkahwin dan ada anak 3 orang.
Beberapa hari ni aku kerap sangat terimbau kisah zaman kanak kanak aku dan semestinya watak utama yang paling aku rindu ialah mak aku.
Dan seperti tajuk di atas, ya aku rindu nak jadi anak mak aku sama macam masa aku kecik kecik dulu. Aku ni anak sulung daripada 5 orang adik beradik.
Aku dibesarkan di sebuah petempatan setinggan tapi di situlah tercipta pelbagai memori indah zaman kanak kanak aku dulu.
Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang tak boleh bayang rumah setinggan tu macam mana kan.
Meh aku bagi bayangan sikit. Aku ingat lagi rumah aku ni tengah tengah. Bersambung dengan rumah sebelah kiri dan kanan.
Beratap zink dan yang menjadi pemisah di antara sebuah rumah dengan rumah yang lain ialah sekeping papan nipis.
Jadi kalau adik beradik aku buat bising, jiran sebelah akan dengar dengan jelas.
Masa tu jiran akan ketuk dinding tanda suruh kami diam sikit. Diamla kami sekejap lepastu sambung bising balik. Budak budak kan..
Walaupun duduk di kawasan setinggan, aku dengan konfidennya boleh cakap yang rumah aku sangat sangat bersih.
Kawasan luar rumah pada waktu tu pun bersih tanpa ada sampah sampah di sekelilingnya.
Tiap tiap petang mak aku akan menyapu halaman rumah. Dalam rumah hari hari akan disapu dan mop.
Toilet pulak memang hari hari akan disental. Mak aku ajar kami semua untuk sental bilik air guna berus tangan sebelum start mandi.
Bukannya sental semua bahagian, buatlah mana mana bahagian walaupun sedikit tapi perlu buat setiap hari.
Kalau dah semua orang kena kerah, memang bersih sungguh toilet kami.
Kalau tetamu datang mengejut pun memang takde masalah sebab apa yang dilihat oleh mereka, memang itulah kehidupan kami sehari hari.
Perabot kat rumah tak banyak sangat dan kebanyakannya ayah DIY daripada kayu pallet.
Kerusi di ruang tamu, side table, meja letak tv, rak kasut dan macam macam lagi lah.
Hiasan di rumah pula semua mak buat sendiri. Kusyen lapik kerusi di ruang tamu mak jahit sendiri.
Alas meja mak kait, hiasan dinding pun mak buat guna bahan terbuang yang dioleh jadi hiasan. Tak mewah tapi sedap mata memandang.
Aku ingat lagi jiran sebelah kanan rumah aku namanya aunty Kamala, seorang wanita berbangsa India yang tinggal bersama suami dan dua orang anaknya.
Dari Aunty Kamala la mak banyak belajar cara cara uruskan rumah jadi bersih.
Aku pernah beberapa kali masuk rumah dia memang boleh dikatakan lantai bersih berkilat walaupun tiada tikar getah tapi selesa dipijak.
Kuali yang bergantung di dinding pulak boleh dibuat cermin. Berkilat wehhh. Segala petua bab bab kebersihan mak aku memang ikut dan amalkan.
Bagusnya Aunty Kamala ni, bila lepak petang petang dengan mak aku dekat pangkin belakang rumah, dia takde nak bercerita hal buruk orang.
Fokus cerita biasanya berkisar tentang masak apa hari ni, hal anak anak dan isu isu semasa. Anak dia yang dua orang tu pun memang cerdik budaknya.
Suatu hari, dia cakap mereka nak berpindah sebab dah beli rumah kos rendah dekat sebuah taman perumahan yang sedikit jauh dari rumah kami.
Maka menangis nangis la mak aku kehilangan BFF yang dia sayangi.
Zaman tu mak aku takde telefon bimbit lagi untuk berhubung. Orang kaya je yang ada tu pun saiznya besar macam botol air.
Kemudian, kami pun lalui kehidupan macam biasa. Ayah aku kerja sorang, mak aku pulak suri rumah. Tapi hidup dia sangat berjadual.
Mak aku cakap setiap apa perbuatan kita harus dirancang supaya masa dapat digunakan dengan bijak.
Rutinnya pagi pagi mak akan masak sarapan sekali dengan makan tengahari. Dia akan teman ayah aku minum pagi dan sembang sembang sebelum ayah aku gi kerja.
Kami adik beradik pun sempat makan pagi sebelum pergi sekolah. Lepas tu masing masing bawak bekal termasuklah ayah aku.
Kami adik beradik pergi sekolah naik basikal. Sekolah pun tak jauh sangat dari rumah.
Lepas semua dah keluar, mak aku akan mula kemas rumah dan basuh baju.
Kesian mak, aku ingat lagi masa tu dia basuh baju guna tangan sebab mesin basuh rosak. Mana boleh beli on the spot sebab mahal.
Padahal kalau ingat balik dalam tiga ratus je sebuah tapi yelah, beli makanan lebih penting masa tu. Anak anak tengah membesar, banyak makannya.
Habis tapak kaki mak aku kena kulat air terutama celah celah jari dia.
Menangis aku tengok masa mak baring. Nampak jelas betapa buruknya kaki dia sebab berendam hari hari. Tapi mak tak pernah merungut pun.
Tengahari mak akan nap sekejap masa adik bongsu aku tido. Ni jela waktu yang dia dapat rehat sekejap.
Belah petang pulak mak akan buat kuih untuk minum petang dan sekali dengan masak untuk makan malam.
Setiap petang macam macam kuih mak buat. Bila balik sekolah akan ada je habuan untuk aku dan adik adik aku melantak. Sedap pulak tu.
Ada suatu hari tu masa aku darjah 2, cikgu panggil aku dan bagitau yang aku akan diberi skim RMT sebab gaji ayah aku rendah.
Cikgu cakap nanti dapat makan free dekat kantin.
Dalam hati aku masa tu dah pelik. Dah kenapa aku kena dapat makan free dekat kantin?
Balik tu aku tanya mak aku yang kita ni orang susah ke? Sebab aku tak rasa aku susah pun. Hari hari aku dapat makan sedap.
Contohnya, pagi mak aku masak nasi goreng seafood (ikan bilis), bekal gi sekolah bawak nasi dengan tauhu sambal dan sayur goreng.
Petang makan pulak cucur jagung dan makan malam lauk udang kecik masak sambal, kangkung goreng petik belakang rumah, sambal belacan dan ikan gelama masin goreng.
Nampak simple je tapi sedap giila rasa dia. Memang tak sempat lapar hidup aku masa tu.
RMT tu aku terima je sebab mak aku kata tu rezeki Allah bagi, jangan ditolak.
Maka aku pun makan la makanan RMT setiap hari di sekolah waktu pagi sebelum masuk kelas dengan waktu rehat.
Siap dapat susu. Ni yang aku paling suka.
Kalau ada lebih yang budak tak datang, aku akan mintak bawak balik nak bagi dekat adik adik aku.
Bekal mak aku masak tetap bawak cuma kuantitinya mak aku kurangkan.
Walaupun makanan RMT tu rasa dia tak berapa sedap tapi aku makanla jugak sebab tak nak membazir. Mak cakap tak baik buang buang makanan.
Korang nak tau tak bila aku mula sedar yang family aku ni orag susah? Masa darjah 4. Time ni semua murid kena masuk unit beruniform.
Oleh kerana zaman kanak kanak aku ni seorang yang lasak, aku pilihla nak masuk pengakap sebab kawan kawan cerita pengakap best dan banyak aktiviti lasak.
Tiba masa nak kena beli uniform lengkap, ayah aku termenung tengok jumlah bayaran yang perlu dibuat. Dalam RM80 lebih tak silap aku.
Mahal sangat bagi ayah aku. Kos tu sahaja boleh buat belanja dapur rumah aku untuk seminggu dua. Aku pun ok jela.
Hujung darjah lima baru aku dapat merasa pakai uniform lengkap. Bersyukurnya aku masa tu Allah je yang tahu. Seronok sangat.
Oleh kerana dah faham yang ayah aku tak mampu, aku pun tak pernah suarakan hasrat nak pergi camping walaupaun hati ni meronta ronta sangat nak pergi.
Bayarannya RM30 je pun tapi aku tau ayah tak mampu.
Setiap malam kami adik beradik akan belajar dekat ruang tamu ramai ramai. Cikgunya? Mak aku la. Semua subjek dia pulun.
Lepas makan, kami akan ikut turn siapa yang akan basuh pinggan dan lap lantai ( makan dekat lantai lapik surat khabar) tak kira lelaki atau perempuan sama sama kena buat. Lepas makan solat jemaah.
Lepastu buka meja belajar yang ayah aku buat dari kayu pallet. Meja ni macam meja Jepun dan boleh dilipat. TV ada tapi hujung minggu baru boleh tengok.
Masa ni mak aku bertukar watak, daripada mak yang penyayang kepada cikgu yang garang.
Memang tak berani la kami adik beradik nak bermalas malas atau ngelat tak nak belajar.
Mak pesan, susah macam mana pun kita, ilmu perlu dicari. Jangan buang masa dengan perkara yang tak berfaedah.
Kalau takde home work pun, kena cari kerja. Buku latihan tahun tahun lepas yang cikgu bagi tak habis buat mak aku akan suruh buat.
Dari kulit depan ke kulit belakang mesti lengkap ada jawapan. Buku tulis yang masih ada ruang kosong pulak akan diguna jadi buku conteng untuk mengira.
Kesannya, kami lima beradik semua dapat biasiswa semasa di sekolah sebab result selalu cemerlang.
Dan alhamdulillah semua dapat masuk universiti dan grad dengan gred cemerlang juga.
Sekarang ada yang kerja dengan kerajaan, dengan syarikat multinasional dan adik bongsu aku berniaga sendiri dengan menubuhkan syarikat SDN BHD.
Mak aku pulak dah hidup lebih selesa sekarang.
Lepas aku SPM, ayah dapat tawaran dari kerajaan untuk bina rumah kos rendah di atas tanah sendiri.
Jadi, kami semua pulang ke kampung ayah kerana rumah tu akan dibina di atas tanah pemberian atok pada ayah.
Teruja sangat masa ni sebab tak sangka kami dapat juga merasa duduk rumah batu walaupun kecil.
Sekarang rumah tu dah menjadi semakin besar kerana kami adik beradik sambung sikit sikit ikut kemampuan.
Mak pun kemain seronok lagi dah pandai order barang online. Sekejap sekejap orang go shop ketuk pintu hantar barang.
Yang aku tak faham, semua barang yang dibeli akan disimpan semula dalam kotak selepas diguna. Sayang katanya.
Ayah pula penuhkan aktiviti dengan pelbagai aktiviti surau dan berkebun. Aku ada beli sebidang tanah tak jauh dari rumah ayah untuk ayah bercucuk tanam sebagai hobi.
Hasilnya, dapatlah kami merasa buah buahan yang tumbuh bila tiba musimnya.
Alhamdulillah, terima kasih Allah atas semua nikmat ini. Doakan mak ayah aku sentiasa sihat dan gembira.
Reaksi Warganet
Aisyah Roseli –
Banyak saya belajar dari penulisan awak.
Tentang cara mak awak urus rumah tangga, nanti nak follow. Hehe
Tq writer. Nanti nanti share la lagi…
1. bfast masak dengan lunch
2. Makan petang masak dengan dinner
3. Lepas makan malam, ajak anak anak sama sama kemas, solat jemaah dan wajib buat homework sama sama.
Zawani za’im –
Bila dah dewasa baru sedar, kecil dulu membesar dengan makanan yang sangat sihat.
Ayam kampung bela sendiri tanpa dicucuk dan sumber makannnya sisa nasi kita sendiri, sayur sayur petik dari laman atau orang kampung tanam.
Buah buahan petik dari pokok bila tiba musimnya. Aduh, rindu
Nurul Zainal –
Terasa bahagia baca cerita confessor. Confessor buat saya rindu suasana petang waktu saya membesar dulu.
Especially hari Sabtu, tunggu mak balik kerja bungkuskan nasi beriani. Berkongsi la kami 4 beranak 2 bungkus nasi beriani sambil bersila dilantai rumah kecil kami.
Pkul 2 petang kami baring baring teman mak tengok hindustan.
Nanti van aiskrim lalu saya dan kakak kakak teruja berlari beli aiskrim 4 batang. Harga cuma 20sen sebatang. Fav mak aiskrim kelapa atau kacang merah.
Pukul 5 petang pakcik van roti lalu, kami mintak nak beli roti. Roti lembut panas panas inti kacang merah, mak paling suka roti kelapa.
Sayq rindu suasana petang waktu kami habiskan masa berempat.
Pagi Ahad mak akan siap siap awal pagi, keluar ke pasar tani dengan mak uda. Belanja barang basah untuk kami makan seminggu. Tak lupa kuih tepung gomak kesukaan kami.
Rumah kecil tapi kami 3 beradik tetap bahagia membesar dengan mak. Sekarang cuma tinggal kenangan sebab mak dah pulang ke alam abadi.
Bila ada hari hari yang cuaca petang nya hening semacam suasana petang waktu saya membesar, semua kenangan ni datang dengan air mata.
Semoga Allah limpahkan kebahagiaan dalam keluarga confessor dan diberikan kesihatan yang baik pada seluruh ahli keluarga, teruskan berbahagia dengan mak dan ayah.
Masitah Zainuddin –
The best confession!
Mak saya macam tu lah. Takde pelajaran sangat, tapi saya dipaksa baca sifir dekat luar kelambu mak (masa tu mak bfeed adik). Hafal sampai mak puas hati.
Mak yang isi borang UITM, (saya agak nakal. Masa ni, taknak belajar sangat) abah hantar gi interview, abah paksa ambik lesen kereta. Ank perempuan kena pandai berdikari katanya.
Dan mak masak sampai harini, memang sedap sampai orang mintak mak bukak gerai.
Hasilnya, saya kerja company oil & gas dan adik saya kerja govt. Alhamdulilah.
Tapi TT kejam sebab cerita pasal makan. Sambal tumis, nasik goreng, ikan masin. Sekarang aku lapar.. huaaaa
Nora Mohd Zain –
Seronok dengar cerita yang banyak pengajaran.
Orang dulu dulu memang rapat dan dapat bercerita dengan anak anak sebab kebanyakkan suri rumah.
Moga ramai lagi kongsi cerita yang dapat membina insan. Bukannya banyak khayalan…
Moga moga adik dan keluarga di berkati dan di rahmati Allah. Selamat dunia akhirat. Contoh yang baik bagi kebanyakkan orang biasa macam kita…
Sumber – Ida (Bukan nama sebenar) via IIUMC