Dulu aku beria2 nak kawin. Mertua paw duit, aku tak kesah. Lahir anak istimewa, aku dihina. Macam2 aku korbankan. Akhirnya ‘dibuang’

 

 

Foto sekadar hiasan

Rugikah Aku Dicerraikan Suami?

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Nama aku Maimunah. Kisah aku sedikit panjang.

Cuma aku mahu meluahkan segalanya yang terpendam dalam hati aku dan mahukan kata kata semangat.

Waktu aku sambung belajar aku berkenalan dengan ex husband aku. Waktu tu aku ada kereta dan dia hanya ada motor.

Keluarga aku bukanlah keluarga berada. Manakala keluarga ex walaupun pendapatan boleh tahan tetapi memang sesak kerana ada sebab sebab tertentu.

Kisahnya bermula bila keluarga dia dapat tahu aku bercinta dengan anak mereka. Rupanya keluarga dia dah ada pilihan untuk dia. Dan aku pun pelik kenapa dia berkeras tak mahukan perempuan tu.

Ayahnya menghantar mesej panjang lebar kepada aku mengatakan dia tak akan merestui perhubungan kami kerana mahukan perempuan lain menjadi menantunya.

Lama kelamaan my ex berterus terang yang dia penah terlanjur dengan perempuan itu dan dia tak mahu kahwin dengan ‘barang lama’.

Waktu itu aku buta dengan cinta malah sanggup meminta ayahku menanggung dia sambung belajar kerana ayahnya menghentikan terus perbelanjaan dia.

Ya, kami dapat PTPTN tetapi ex berbelanja seperti dirinya orang senang.

Ketika kami di semester akhir dia curang denganku dengan kawan sekelas. Aku mengamuk namun memaafkan dia selepas dia terus menghantar keluarganya untuk meminang aku.

Keluarganya minta aku berfikir semasak masaknya kerana anak mereka sejenis yang nak hidup seperti orang kaya kaya walaupun dirinya tak kaya.

Betapa bdohnya aku ketika itu padahal dah banyak ‘red flag’ yang Allah hantar kepada aku. Aku tetap mahu berkahwin.

Ayahnya pula kononnya akan memberi restu sekiranya aku beri dia duit bila dia minta.

Selepas beberapa kali kantoi dengan anaknya, dia berhenti meminta duit dariku. Dan episod tidak merestui perhubungan kami berterusan sehinggalah kami bercerrai.

Kami terus berkahwin selepas belajar walaupun ex hanya kerja kontrak. Keluargaku terpaksa bersetuju kerana aku yang berdegil mahu menghalalkan hubungan kami.

Selepas berkahwin aku bunting pelamin dan dimarah teruk oleh bapa mertua. Dan rezeki anak, ex dapat kerja tetap.

Takdir Allah, anak sulungku anak istimewa. Dan sekali lagi dihina kerana melahirkan anak tak sempurna.

Ketika aku bersalin ex ditempatkan di negeri lain. Dan aku mengikutnya selepas habis pantang.

Bila masuk kerja dia berusaha untuk mengambil hati orang atasan dan bekerja sehingga lewat malam.

Aku dengan anak istimewa yang menangis tak henti henti menjadi tertekan.

Tiap kali dia balik rumah dia akan tidur di bilik lain kerana tidak mahu gangguan untuk bekerja.

Baru bekerja beberapa bulan dia terus membeli kereta yang tidak padan dengan gajinya.

Namun kerana mahu bergaya dia tetap membeli kereta itu sedangkan aku dah ada kereta sendiri.

Beberapa ketika aku mendapat kerja kerajaan. Namun kerana anak kami istimewa tiada taska atau pengasuh yang mahu menjaga.

Dia tidak mengizinkan aku untuk bekerja kerana katanya dia mampu.

Dengan perbelanjaan kami dan anak istimewa kami dia mula mengambil beberapa kad kredit, pinjaman peribadi dan akhirnya hutang kami mencecah maksimum.

Aku meminjam duit dengan ayahku berpuluh ribu untuk membayar hutang kad kredit dan hutang PTPTN kami secara lump sum.

Setiap bulan aku akan uruskan kewangan sehinggalah kami bebas hutang sampailah ke hari dia mencerraikan aku, akulah yang tolong menguruskan semua sehingga dia tiada walau satu sen pun hutang kad kredit.

Menjelang 5 tahun perkahwinan aku bersalinkan anak ke dua. Dia naik gred dan dia mahu sambung pelajaran supaya dapat naik pangkat ke pegawai.

Aku mengumpul gajinya setiap bulan untuk membayar yuran pelajarannya sehingga graduasi. Dan mengumpul duit untuk dia membawa ibunya ke umrah.

Aku berfikir, tak apalah lepas ini dia akan bawa aku dan anak anak juga. Rupanya itu hanya angan angan aku.

Betul betul dia graduasi aku melahirkan anak ke 3 dan dia dinaikkan pangkat sebagai pegawai. Dia merupakan anggota badan beruniform yang selalu ada operasi .

Suatu hari aku membuka beg dia selepas dia balik operasi dan terkejutnya aku kerana terjumpa k0ndom.

Kami bergaduh besar kerana buat apa pergi operasi tapi bawa k0ndom sedangkan kalau bersama dengan aku memang tak pernah menggunakan k0ndom.

Aku membawa diri dan tidak berbaik berbulan bulan dengan dia tapi selepas itu dia merayu merayu untuk aku maafkan dia.

Dan aku tewas lagi. Aku teruskan hidup kerana memikirkan anak anak.

Ketika ini kami membeli rumah pertama dan kami betul betul sesak sehingga aku terpaksa menjual pelbagai benda untuk mencukupkan duit.

Oh ya. Gajinya tiap bulan hanya ada balance ratus ratus sahaja dan itulah duit untuk makan, untuk pampers dan untuk minyak kereta.

Sedangkan dia bekerja katanya ada peruntukkan untuk makan, pakaian, gajet dan minyak kereta.

Isteri dan anak anak dirumah makan nasi dan satu lauk sedangkan dia diluar makan mewah mewah dan sedap sedap serta berpakaian mahal mahal branded kerana ada peruntukkan katanya untuk kerja.

Aku? Baju memang tak bertukar malah yang dalam dalam pun sama tidak bertukar.

Sepanjang kami berkahwin, dia memang amat mementingkan kerjanya sehingga anak sulung kami dihantar ke pusat kanak kanak istimewa di mana pun dia tidak tahu.

Dia hanya mengetahui setelah aku bersalin anak kedua kerana dia yang kena hantar anak ke pusat jagaan.

Rumahtangga dan anak anak memang sepenuhnya ditangan aku. Dia hanya berbaik dan bermanja denganku bila dia mahu bersama sahaja.

Selepas dia selesai dia akan tinggalkan aku begitu sahaja. Selain itu tak akan ada sentuhan terhadapku. Tiada gurau senda dan pelukan atau ciuman.

Dan rumahtangga kami dah hilang serinya kerana aku keletihan membesarkan anak anak.

Aku lah yang berjaga malam. Akulah yang menghantar ambil anak di pusat jagaan dan sekolah.

Selain dari itu aku terkurung di rumah kerana ada suami tetapi lebih memilih kerja.

Setelah berbelas tahun berkahwin, semasa PKP tiba tiba ex mula berbelanja mewah. Dia ada duit yang banyak sedangkan dia baru naik ke gred pegawai dan mula tak balik ke rumah.

Bila aku memeriksa telefon kantoi gambar dia bersuka ria dekat Genting atau tempat lain menggunakan tiket sebagai pegawai bertugas boleh merentas daerah dan negeri.

Dia berbelanja jam, telefon, kasut dan beg. Boleh bayar kereta baru 2 biji. Boleh beli rumah dan tanah. Dan semua ini secara cash.

Dia menjadi bahan gosip di ofis kerana bekerja seorang tetapi pendapatan melebihi gaji.

Kemudian tiba tiba dia dipindahkan jauh dari kediaman kami. Rupanya dia ada buat onar dan hukuman itu untuk mengaburi mata yang membuat laporan.

Dan dengan PJJ rumahtangga kami menjadi semakin tidak bahagia. Rupanya kantoi dalam diam sebab dah hidup senang ada perempuan lain yang muda dan s3ksi.

Berdating dekat tempat tempat eksklusif yang memang orang dikenali takkan jumpa. Dan sejarah berulang.

Kerana mahukan yang baru yang lama dibuang. Aku dipkul, dihina kerana rupa dah tak cantik dan badan tidak mengiurkan lagi. Alasannya aku tak menjaga rupa, badan dan keperluan nfsunya.

Dan akhirnya aku dicerraikan kerana perempuan itu menangis menangis bertanya buat apa nak pilih aku sedangkan diri ex sudah lama tersiksa kerana tidak bahagia bersama aku.

Perempuan itu sendiri bercakap dengan aku dan menyatakan kalau dia berkahwin dengan orang bujang pun akan bercerrai juga.

Dah ada suami orang yang tergila-gilakan dia dia terima saja. Kalau jodoh tak panjang apa dia boleh buat.

Dan bagi dia, perbuatan ex yang ada duit banyak tu kalau kantoi pun tak ada kena mengena dengan dia dan kalau jadi apa apa ex la yang akan menanggungnya sendiri. Dan sekarang mereka sedang berbahagia berkahwin.

Sejujurnya sepanjang aku mengetahui ex curang aku kemurungan. Dan aku masih tidak kuat untuk bangkit. Aku tak mahu keluar rumah.

Aku tak mahu melakukan aktiviti bersama anak. Dan aku asyik mempersoalkan aku ni rugi ke dicerraikan oleh ex? Kenapa aku?

Setelah aku korbankan segalanya. Sudahlah sudah berusia, tidak bekerja, tidak cantik dan tidak menarik.

Kalian boleh bantu jawab rugikah aku? Nak bagi kata kata yang kasar sikit pun tak apa asalkan aku dapat celik mata.

Entah berapa lama aku tidak bangun bangun lagi.

Terima kasih kerana sudi membaca.

Reaksi Warganet

Fatihah Zakaria –
Patutnya dari dia mengaku berziina tu sis dah tinggalkan dia. Kat situ dia dah kibar red flag besar.

Hmmm takpelah benda dah jadi, bangkitlah sis demi ada anak anak yang perlu dijaga.

Moga sis terus tabah. Lama kelamaan dia akan menyesal dengan perbuatan dia sendiri

Rara Razzmann –
Lain macam ‘sayang’ awak dekat dia ya. Kalau la sayang sebegini rasa awak bagi pada diri awak kan bagus.

Channel all the love, the efforts yang awak dah buat selama ni pada dia, dan fokus pada diri awak sendiri.

Diri awak. Awak ingat lagi tak diri awak?

Awak abaikan diri awak sendiri selama ni untuk dia dan anak anak. Bersyukurlah awak dah kena cerrai, itu semua aturan Allah.

Allah tak nak awak terus menzalimi diri dan berada dengan orang yang zalim.

So please. Jangan sedih. Bersyukur pada Allah.

Go back, find your old self. Diri awak yang original, sebelum awak kenal si durjana malapetaka ni.

Chea Wani –
Move on. Jangan bazirkan air mata untuk orang yang tak layak.

Bina kerjaya anda sehingga berjaya adalah balas dendam yang paling sempurna. Tapi kalau sebaliknya awak melemah, bangga lah ex awak nanti sebab dia akan sangka awak lemah tanpa dia dan selama ni tanpa dia, awak tak boleh survive.

Padahal awak lah yang tolong setelkan hutang hutang dia masa susah. Mak ayah awak baik sangat.

Mungkin dah tiba masanya untuk awak berbakti balik kepada mak ayah, tetap support awak walaupun tak berkenan awak kahwin dengan ex dulu.

Semua yang berlaku ada asbabnya. Please dun feel down ok. Awk mampu jaga anak istimewa awak, maksudnya awak memang kuat. Percaya diri sendiri, sis

Azie Azem –
Sedihnya baca. Saya ada satu anak hyperactive pon rasa semput nak kejar.

Nasihat saya untuk sementara waktu, baliklah ke rumah ibu bapa. Cari kerja atau pendapatan sampingan sambil jaga anak istimewa. Memang susah, tapi belajar terima takdir.

Saya ada jumpa sorang bekas isteri askar, anak anaknya ditanggung oleh bekas suami secara potongan gaji sehingga dewasa.

Dia fight untuk bahagian anak anak walaupun suami dia dah kawin lain dan tersiksa sekarang ni terpaksa bekerja di usia tua sebab ada 5 anak dari perkahwinan kedua…

Saya doakan puan dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan. Tak rugi pon terus bersama dengan lelaki yang pentingkan diri sendiri dan bagi anak bini makan rasuah. Sekali terduduk, terus hancur hidupnya…

Cuba puan minta bantuan pusat zakat dan kebajikan masyarakat. Biasanya akan dapat bantuan kerana puan tak bekerja.

Allah takkan uji hambanya melebihi kemampuan dirinya sendiri..

Masitah MH –
Kalau fikir rugi, mungkin rugi dari sudut material, masa, tenaga dan usia muda yang nampak di mata dan juga peluang peluang yang terlepas waktu muda.

Tapi insyaAllah dari sudut pandangan Allah mungkin tak sama dengan pandangan makhluk.

Banyak yang awak belajar dari pengalaman hidup awak. Semoga menjadi lebih kuat dan bijak dalam menghadapi kehidupan.

Orang kata, bila kita jatuh di titik yang terendah, tak ada jalan lain untuk bergerak melainkan ke atas.

Semoga setiap langkahmu untuk memulakan kembali kehidupan diredhai Allah.

Sumber – Maimunah (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *