#Foto sekadar hiasan
Rumahku Syurgaku
Assalamulaikum, salam sejahtera dan hai semua pembaca.
Luahan aku hari ni berkenaan dengan dilema aku dan suami untuk membeli rumah. Buat masa ni aku dan suami masih lagi menyewa dan dalam perancangan membeli rumah.
Untuk membeli rumah ni, ada banyak faktor yang kami fikirkan.
Pertama, keselesaan kami dan anak anak serta tetamu yang akan bertandang kerana kami suka menjemput rakan rakan dan keluarga ke rumah.
Kedua, faktor jarak dari rumah ke tempat kerja dan ke sekolah anak.
Yang terakhir ialah jiran tetangga kerana pada aku keadaan sekeliling amat memainkan peranan lagi lagi anak anak kami sedang membesar.
Aku lebih sukakan rumah tinggi seperti kondominium kerana fasiliti yang disediakan oleh pemaju seperti kolam renang, gym dan parking persendirian.
Suami pula sukakan rumah atas tanah kerana dia suka bercucuk tanam dan mudah untuk ibu bapa kami bertandang.
Jadi bila berbincang, aku terpaksa akur kerana rumah yang sekarang kami sewa juga ialah kondominium.
Kondominium yang kami duduki sekarang terletak di tengah bandar dan sebenarnya aku memang sayang rumah yang sekarang.
Bayangkan ke tempat kerja aku dalam tiga minit je kalau naik kereta, nak jalan kaki pun tak ada hal. Untuk ke tempat kerja suami lebih kurang 10 minit.
Shopping complex dekat, pejabat kerajaan pun dekat dan segala kemudahan-kemudahan lain.
Cuma, apabila keluarga datang bertandang mereka mengalami masalah parking dan juga kami terpaksa berulang alik turun ke bawah kerana residen yang mempunyai access card sahaja boleh ke tingkat tertentu.
Untuk keluasan rumah, aku boleh kata tak berapa besar tapi selesa sebab rumah aku tak banyak perabot. Aku memang sukakan gaya minimalis.
Untuk tetamu, maksimum 7 orang je, kalau lebih memang macam sardin.
Tapi yang lain semuanya sempurna tentang rumah yang sekarang. Untuk faktor faktor ni kalau ada kurang sana sini aku okey je, masih boleh pejam mata tapi faktor kejiranan tu yang paling aku risau.
Selepas berkahwin, dah tiga kali ya aku pindah rumah sebab kejiranan yang tak okey.
Rumah pertama kami teres setingkat kos rendah dan lorong aku semuanya melayu kecuali selang sebuah rumah adalah keluarga India.
Pada aku kawasan perumahan tersebut sangat sempurna sebab jiran jirannya baik baik belaka tetapi bukan jiran sebelah rumah aku.
Sebelum kami masuk ke rumah tersebut, rumah tersebut dah kosong bertahun lamanya. Tuan rumah aku menetap dekat Singapore dan aku orang pertama yang menyewa dekat situ.
Selama rumah tu kosong, jiran sebelah dah biasa sidai baju dan parking kereta depan rumah aku.
Dia sidai baju guna penyidai besi yang besar yang ada roda dekat bawah tu, jadi dia boleh tolak ke sana sini. Bila petang, dia tarik masuk dalam pagar rumah dia.
Rumah dia, dia dah renovate habis. Bilik dia extend sampai anjung depan, dinding dah naik habis jadi sebab tu dia parking dekat depan rumah aku bila malam. Car porch dia, dia dah jadikan bilik dan extend ruang tamu.
Kalau siang dia parking depan rumah dia sebab depan rumah aku dia letak penyidai. Aku tak pasti berapa ramai yang ada dalam rumah tu, tapi memang hari hari dia basuh baju.
Hari pertama aku datang untuk masukkan barang barang dalam rumah tu, suami aku bagi salam untuk mintak dia alihkan ampaian dia tu.
Kau tau laki dia buat apa? Dia tarik penyidai tu pergi tengah jalan.
Lepas suami dah siap turunkan semua barang, suami tarik balik ampaian dia sebab rasa bersalah.
Yelah kita baru nak duduk situ, kalau boleh tak nak lah masam muka kan. Bermulalah episod kami yang pada aku sangat membebankan.
Pagi nak pergi kerja kalau dia dah sidai baju dia depan pagar, aku kena alihkan dulu baru suami reverse lepas tu tarik balik.
Okey takpe yang tu kami pejam mata je.
Yang susahnya bila kami nak pergi kerja kereta dia masih depan rumah atau bila kami balik kerja kereta dia dah depan rumah.
Kalau masa nak pergi kerja tu terpaksa lah kami bagi salam beribu kali sampai aku rasa nak pecahkan je pagar rumah dia. Kadang kadang jiran lain pun ada tolong kami.
Kalau masa kami balik kerja, biasanya suami parking je dekat jalan hujung atau tumpang parking depan rumah jiran lain.
Jiran lain kata kami terlalu berlembut tapi aku diam je sebab aku tak kenal siapa siapa dekat situ. Aku tak nak ada kes sampai menyampai pulak nanti.
Pernah je kami parking depan rumah dia, esok pagi dia letak notes jangan parking dekat situ.
Aku masa tu dah naik angin, dah kenapa depan rumah dia nak biar kosong je. Sakit betul hati.
Tapi suami kata biar je, orang tua.
Kali terakhir yang buat laki aku pun kurang sabar bila nenek suami aku tengah nazak pukul 2 pagi. Kami ketuk macam nak roboh ya pagar rumah dia tapi tak keluar jugak.
Kebetulan jiran India kami ada dekat situ, dia pun baru balik kerja. Dia tolong panjat pagar, ketuk pintu rumah jiran sebelah aku tu.
Masa tu suami aku tak cakap apa, bila dia alih je kereta dia suami aku terus reverse. Aku masuk je berdesup dia tekan minyak.
Aku tau dia marah, tapi dia masih ada rasa hormat pada orang tua.
Seminggu lepas tu suami dah mula cari rumah sewa baru walaupun rumah lama masih ada kontrak berbaki setahun dua bulan sebab kontrak kami dua tahun.
Masa tu aku dah mengandung, suami kata nanti tengah malam nak beranak tak pasal nak ketuk pintu rumah dia lagi.
Kebetulan sepupu suami aku tengah cari rumah, jadi kami pass pada dia. Owner pun okey je, senang bawak bincang.
Masa kami nak keluar tu, bini dia ada je tengah sidai kain. Aku pun nak salam lah ingat nak mintak maaf ke apa.
Isteri dia kata lain kali masuk tempat orang jangan ikut kepala sendiri. Kita ni orang tua dah biasa dengan cara kita, awak tu muda mengalah jelah mana yang patut. Fuhh aku masuk kereta terus blah!
Tapi sepupu suami aku pun tak tahan, enam bulan je dia duduk situ. Dia lagi dahsyat, siap bergaduh lagi dengan orang sebelah.
Puncanya sebab dia dok keras kepala parking depan rumah orang tu. Nasib baik tuan rumah baik, dia pulang penuh je deposit kami.
Dan sekarang katanya rumah tu dah jadi homestay sebab kebanyakan penyewa tak tahan dengan jiran yang ada.
Rumah seterusnya aku duduk kawasan elit, teres dua tingkat dan lengkap dengan security. Yang ni jiran buat hal masing masing, tak bertegur sapa langsung setakat senyum senyum gitu je.
Tapi aku tak kisah pun sebab masing masing pun bekerja.
Masalah timbul dengan jiran depan rumah aku. Tak silap aku satu rumah ada enam biji kereta dan mereka parking merata rata termasuk depan rumah aku.
Dia bagi aku ruang muat muat je untuk masuk pagar rumah aku tapi aku tak kisah pun asalkan dapat parking dan boleh keluar.
Satu hari tu, mungkin dia parking terkedepan sikit jadinya bila aku bukak auto gate berdentum kena kereta mahal dia.
Dia apa lagi mengamuk sakan marah kami laki bini katanya kami dengki dengan dia sampai panggil guard ya.
Guard cakap tetap salah dia sebab parking depan rumah orang, tapi dia masih pertahankan dia yang betul.
Lama ya dia mengamuk sampai satu family dia keluar maki kami secara berjemaah.
Guard suruh report polis je sebab tak ada kata sepakat tapi dia menolak. Akhirnya kes tu diam macam tu je tapi dia masih lagi parking depan rumah kami.
Kami pindah dari situ sebab jalan nak ke tempat kerja selalu jam dan kebetulan pula tuan rumah nak jual rumah tu.
Mula mula kami ingat nak beli, tapi ayah aku kata tak berbaloi sebab rumah tu banyak kerosakan walaupun cantik. Dinding dengan tangga dah nampak kesan retak, siling pun bocor.
Rumah terakhir kami sebelum kondo yang sekarang ialah apartment kos rendah. Masa tu memang urgent cari rumah, jadi aku bantai je yang dekat dengan tempat kerja.
Apartment tu okey, cuma kecik gila. Bayangkan peti ais aku kena letak dekat ruang tamu sebab dapur sempit gila. Nak masuk peti ais tak lepas sebab peti ais aku jenis dua pintu macam almari tu.
Jangan cakap aku kaya ya, tu aku hutang dekat senheng 12 bulan guna kad kredit. Hehe.
Sebulan dua okey, sampailah musim PKP tiba.
Masa tu lockdown, semua orang duduk rumah. Bising gila ya apartment tu, bising yang tak pernah aku dengar sebelum ni.
Jiran jiran yang aku tak pernah jumpa pun tiba tiba muncul. Tapi takpe tu bukan isu utama.
Jiran depan rumah aku kami panggil Kak Milah (bukan nama sebenar) rupanya psiko. Katanya dia memang ada sakit mental, tapi mula mula memang kami tak perasan.
Apartment aku dalam setingkat ada 4 buah rumah je, dan tingkat aku memang ada rumah aku dengan rumah Kak Milah.
Mula mula tu memang okey, lama lama aku baru perasan. Tiap tiap malam Kak Milah gaduh dengan suami dia, ayat dia “bvunuh jelah aku. Aku memang nak mati pun.”
Hari hari kami dengar ayat yang sama ya. Seram dengar. Tapi suara suami dia langsung tak dengar, kadang kadang je dengar suami dia memanggil.
Kak Milah juga ada tabiat pelik iaitu suka hantar makanan dekat rumah aku pukul 12 malam ke atas. Macam macam dia hantar, jemput jemput lah, bubur berlauk dan pernah sekali nasi dan telur mata.
Aku pelik juga tapi Kak Milah kata dia lapar tengah tengah malam. Takpe aku terima je alasan dia tu.
Satu hari tu aku balas balik pemberian dia dengan memberi lauk yang aku masak, masa tu aku bagi ikan dan sotong bakar.
Dia nampak gembira tapi masa waktu maghrib suami aku nampak dia baling sotong dengan ikan tu depan pintu rumah.
Suami aku tanya tak sedap ke?
Dia kata kesian orang lain lapar juga. Nanti dorang ambik lah pemberian dia tu.
Masa tu kami musykil juga tapi buat bdoh je walaupun dah seram sejuk.
Tak lama lepas tu dia bagi anak perempuan aku hadiah dalam bungkusan tapi aku lupa nak bukak.
Tiga hari lepas tu baru aku bukak dan masa tu memang aku terkejut gila. Kain pelekat suami aku dia jahit jadikan baju dengan skirt.
Kain pelikat tu dah dua minggu hilang, dan kain tu kami beli masa honeymoon dekat bandung dulu. Memang aku cam lah. Masa tu memang dah rasa tak sedap hati ya.
Sejak tu aku tak tegur dah Kak Milah, seram semacam. Mungkin dia perasan, jadinya satu malam tu dia ketuk pintu rumah aku macam nak roboh sambil menangis nangis.
Dan ayat yang aku dengar sama macam dia gaduh dengan laki dia,
“Bvnuh jelah aku, aku memang nak mati pun.”
Suami aku keluar, suami aku kata aku balik kampung. Adalah sikit sikit suami aku pujuk dan dia percaya. Padahal masa tu nak rentas daerah pun tak boleh.
Lepas PKP 1.0 habis dan kami dah boleh bekerja semula, aku mengandung anak ketiga dan kebetulan aku terjumpa iklan rumah sewa kondo aku yang sekarang. Tanpa berlengah aku terus ajak suami view rumah dan terus setuju.
Masa kami angkut barang tu, Kak Milah buat muka bersahaja macam tak kenal kami. Kebetulan masa tu owner rumah ada sebab nak ambil kunci jadi kami sempat berborak.
Aku ada cerita sikit sikit pasal Kak Milah dan owner kata Kak Milah memang macam tu.
Dia balu tak ada anak, suami dia meninggal sakit jantung dekat rumah tu. Sejak tu dia jadi tak siuman sangat.
Makan minum Kak Milah ditanggung oleh keluarga suaminya, tapi tak ada siapa yang nak duduk dengan dia. Mereka hanya hantar barangan mentah dan bayarkan duit rumah.
Telan air liur jugak aku sebab aku ada dengar suara lelaki, husnudzon jelah mungkin keluarga dia yang lain.
Dan sekarang aku bahagia dekat rumah baru.
Tapi tulah sampai bila nak menyewa? Atau sebenarnya ada baiknya juga bila kita menyewa? Aku pun pening.
Maaf lah cerita aku ni jadi panjang sangat. Tapi sememangnya aku dilema nak pilih untuk kekal menyewa atau beli rumah untuk jangka masa panjang.
Tapi aku risau juga dapat jiran pelik pelik ni.
Mohon pendapat semua terutama sekali yang ada pengalaman berkaitan hartanah dan sewaktu dengannya.
Gracias!
Reaksi Warganet
Fazidah Abdul Kadir –
Beli lot international bukan bumi lot, insyaallah kalau tahan bunyi salakan anjing, aman damai ja hidup berjiran,
Rumah saya macam tu. 3 buah ja rumah melayu (lot depan rumah). Rumah saya satu satunya rumah melayu yang sederet dengan rumah saya tak dak langsung melayu, india dan cina saja.
Setakat ni alhamdulillah semua ok, jiran pun prihatin dan baik belaka. Raya depa macam kita pun raya sama. Meriah, dapat macam macam makanan.
Siti Aisyah Lokman –
Huish. Penyabar betul. Saya ada jiran issue part parking. Bila suami tegur elok elok, jiran pi lepaskan marah dekat mak saya yang sekadar datang melawat. Time tu dah la saya pregnant.
Tak kisah la tua ke apa, since dia ganggu my mom, memang saya automatic jadi defensive and naik suara balik dekat dia. Hilang rasa hormat masa tu.
Alhamdulillah sekarang dia pon dah tak park depan rumah kami.
Lidya Mus –
Pendapat saya stay je rumah sekarang. Simpan duit dulu.
Jarak ke tempat kerja memainkan peranan. Sambil membesarkan anak yang masik kecil kalau ada kecemasan mudah nak balik rumah.
Kalau fasilitasi macam sekolah dan kedai pun dekat tu lagi la bonus.
Keluarga bukan datang tiap tiap hari. Setahun mungkin 2 3 kali je. Susah sikit part tu je la. Duduk rumah sendiri tapi kena hadap jem pun tak best juga.
Kejora San –
Saya pernah alami situasi yang sama. Mula mula duduk, jiran selalu parking depan rumah.
Rumahnya dah extend smpai kedepan, kereta 4 biji. Mula mula saya sabar juga.
Smpai satu masa saya nak keluar pergi keje 5 pagi, tengok ada kereta depan rumah. Susahla saya nak kelua kereta dalam porch.
Panggil panggil tak menyahut. Bengang sangat saya bunyikan hon lama dekat setengah jam, sampai satu taman kelua.
Elok jiran tu kelua, terus saya tempik. Maki depan depan tu juga. Mentang ko orang tua, duduk situ lama. ko ingat ko sapa ?
Sejak tu dia dah tak letak kereta depan rumah saya lagi.
Nurul Zainal –
Duduk rumah bertingkat ni ikutkan lagi aman dari duduk rumah landed sebab jiran buat hal masing masing tapi kami tetap bertegur, beramah mesra.
Kalau duduk taman tak tahan dapat jiran terlebih prihatin, dah balik keje pkl 10 malam, penat tapi dia boleh ajak berbual bual pulak. Tak layan nanti kata kita ni sombong.
Dah masuk 10 tahun hidup rumah bertingkat, aman damai. Masa duduk flat dulu pun alhamdulillah, jiran okay okay je walaupun ada la 1,2 hal tak puas hati.
Sekarang alhamdulillah lagi aman, parking depan CCTV, dekat pintu lif, jiran pun tak jenis menyibuk tapi masih prihatin, cuma tulah kadang kadang macam ada godzilla dekat rumah atas.
Doa banyak banyak sis moga dikelilingi jiran yang menyenangkan dan baik.
Kalau ada duit extra untuk beli rumah, carilah service apartment atau kondo sebb parking tak kacau orang dan orang pun tak boleh suka suka kacau parking kita.
Cuma kalau dah nama tempat ada management ni biasanya kita akan rasa macam duduk asrama sebab banyak peraturan.
Sumber – Yana (Bukan nama sebenar) via IIUMC